Tubuh suruhanjaya perumahan negara

in Nasional by


PUTRAJAYA – Jabatan Perumahan Negara perlu dinaik taraf kepada Suruhanjaya Perumahan Negara bagi menangani isu perumahan yang meresahkan golongan berpendapatan 40 peratus terbawah, terutama generasi muda.


Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Alias Abdullah berkata, sebagai sebuah suruhanjaya, entiti itu akan mempunyai lebih kuasa merancang dan melaksanakan projek perumahan serta mengawal harga rumah.


“Dengan ini, ia akan menjadi satu-satunya entiti yang menguruskan isu perumahan di negara ini tanpa memerlukan kelulusan daripada kementerian melaksanakan sesuatu inisiatif,” katanya selepas perbincangan meja bulat Pemilikan Rumah Kreatif Pasca Bajet 2018, semalam.


Mengulas lanjut, Alias berkata, semua inisiatif kerajaan dalam penyediaan perumahan mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) boleh diletakkan di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.


Sementara itu, perbincangan meja bulat anjuran MPN itu antara lain turut cadangkan agar pangkalan data permintaan dan penawaran rumah diwujudkan bagi pastikan projek perumahan dilaksana memenuhi permintaan bakal pembeli terutama yang berpendapatan 40 peratus terendah.


Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose bagaimanapun berkata, usaha membangunkan pangkalan data seperti itu memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pihak industri terutama pemaju perumahan.


“Kita perlu dapat gambaran secara menyeluruh (data yang perlu dikumpulkan), perlu ada kerjasama dengan pihak industri,” katanya.


Mengulas cadangan Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Malaysia, Chang Kim Loong, supaya kerajaan menetapkan margin keuntungan pemaju seperti yang dikuatkuasakan di beberapa negara lain, Raduan berkata, cadangan itu mampu menurunkan harga rumah jika ia dilaksanakan.


“Di United Kingdom, margin keuntungan ditetapkan 17 peratus, tetapi ada perkiraan lain kita tidak tahu dan perlu didalami lagi. Bagaimanapun, kita memerlukan keazaman politik untuk berbuat demikian,” katanya.


Sementara itu, Kim Loong juga mencadangkan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut  berfungsi sebagai pembiaya pinjaman perumahan memandangkan sesetengah golongan sukar mendapatkan pinjaman bank berikutan kekangan kadar pendapatan.


“Kita semua mencarum dalam KWSP dan itu wang kita. Kenapa KWSP tidak meminjamkan wang kepada pencarum dan jika mereka menjual harta itu, mereka boleh membayar balik pinjaman.


“Jika peminjam meninggal, syarikat insurans gadai janji secara automatik akan bayar pinjaman kepada KWSP,” katanya.  – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]