29 penagih 'muka tembok' kena cekup

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Tindakan agresif sejumlah 29 penagih termasuk seorang OKU bergelut untuk melarikan diri membawa padah apabila mereka dicekup anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Kerian dalam Ops Perdana, di pasar lama Pekan Tanjung Piandang, di sini petang tadi.


Selain itu, perbuatan kumpulan penagih dadah berkenaan menggunakan lokasi terdedah pada orang awam untuk menjalankan aktiviti penagihan dadah di samping bersikap ‘muka tembok’ dengan tidak mempedulikan penduduk kawasan itu akhirnya memakan diri.


Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Kerian, Shahrul Nizam Baharuddin berkata, satu operasi bersepadu dinamakan Ops Perdana dijalankan pihaknya bersama Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian dan Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan Kerian(PSKK) di lokasi sasaran di sebuah pasar lama pekan Tanjung Piandang, bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.


Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan lebih 15 anggota AADK Kerian dan polis susulan menerima aduan awam memaklumkan lokasi itu sering menjadi ‘sarang’ penagihan dadah di kawasan Tanjung Piandang sejak kebelakangan ini.


“Menerusi operasi itu, kita berjaya menangkap keseluruhan 29 penagih dadah dengan tiga daripadanya merupakan penagih warga emas, manakala seorang lagi merupakan OKU.


“Kesemua penagih ditahan berusia lingkungan 21 hingga 71 tahun dan dituduh di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983),” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Kerian, di sini hari ini.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]