Ahmad Zahid sampaikan ucaptama Isnin

in Nasional by


HONG KONG – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia di sini pada Isnin.


Persidangan dua hari bertema ‘Menangani Ketidaktentuan Global: Meneroka Peluang Baharu’ yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan akademik, dan pemikir, berlangsung bagi memperingati dan menyambut ulang tahun ke-20 Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, dan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Hong Kong yang melengkapkan FTA China Asean.


Dalam perutusannya, Ahmad Zahid berkata pertumbuhan ekonomi bagi mana-mana negara dan kestabilan hdup rakyat tidak dapat direalisasikan sepenuhnya tanpa bekerja rapat dan menjalin usaha sama dengan ekonomi dunia.


Untuk itu, keamanan dan keselamatan berterusan merupakan asas penting.


Oleh itu, beliau berkata pengukuhan hubungan antara Asean dan China, selain memperluas skop diplomasi dengan negara di rantau Asean Pasifik sangat penting.


Ahmad Zahid berkata perdagangan bebas merupakan satu lagi aspek penting kepada mana-mana ekonomi yang mahu berkembang dan maju.


“Apabila kreativiti dan inovasi individu dimanfaatkan sepenuhnya, dan hasil kreativiti dan inovasi itu melangkaui sempadan negara, kita boleh mengharapkan pembangunan masyarakat makmur dipromosikan di seluruh dunia,” katanya.


Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan-kerajaan juga perlu mengurangkan halangan yang memberi kesan negatif terhadap rakyat dan memperkukuh mekanisme yang adil dan saksama untuk melindungi hasil inovasi.


“Jika negara boleh menyelaraskan peraturan mereka, seperti pelepasan kastam, ini bukan sahaja dapat mempercepatkan pergerakan barang, malah mungkin mengurangkan kos penghantaran,” katanya.


Sidang kemuncak ini, yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) membuktikan bahawa visi kolektif kami untuk mewujudkan perkongsian dinamik terus menjadi keutamaan dalam kalangan ahli industri dan agensi berkaitan.


“Dengan berkumpul untuk menyelaraskan usaha oleh sektor awam dan swasta, dan melaksanakan program untuk komuniti nasional dan antarabangsa, kita dapat menyatukan usaha dan memanfaatkan gabungan sinergi dalam membangunkan komuniti kita,” katanya.


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dijangka menyampaikan ucapan khas pada sidang kemuncak itu.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]