Azammudin tidak bersama JDT musim depan

in Sukan by


PEMAIN sayap lincah, Azammudin Mohd Akil mengesahkan beliau tiada lagi dalam senarai pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.


Bekas pemain Pahang itu bersama dua lagi pemain JDT, S Chanturu dan R Gopinathan, diumumkan bakal meninggalkan Kem Harimau Selatan untuk musim hadapan menerusi posting Facebook, Johor Southern Tigers, pagi tadi.


Bagaimanapun, Azammudin atau lebih dikenali sebagai Alex berkata, beliau masih belum membuat sebarang perancangan mengenai pemilihan pasukan, meskipun menerima tawaran daripada beberapa kelab lain.


“Ada beberapa kelab telahpun membuat tawaran, bagaimanapun, saya masih belum membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Bekas pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu memperoleh pelbagai kejuaraan bersama JDT iaitu Piala FA, Piala Malaysia termasuk menjulang trofi Liga Super pertama dalam karier bolasepaknya tahun lalu.


Sementara itu, Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest berkata, kelab menghargai kerja keras dan dedikasi kesemua pemain berkenaan sehingga berjaya menjulang beberapa piala sepanjang berkhidmat untuk JDT.


“Kami ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Azammuddin Akil dan R Gopinathan yang berasal dari Pahang serta S Chanturu dari Kedah atas jasa dan bakti mereka ketika bersama kelab selama ini,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]