Berjuang habis-habisan

in Sukan by


BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mahu meraih keputusan positif pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China yang akan membuka tirai esok.


Menurut Kian Meng, beliau dan Pei Jing perlu melepasi peringkat suku akhir untuk mengumpul jumlah mata sebanyak mungkin bagi melayakkan diri ke Kejohanan Siri Super Akhir di Dubai, bulan depan.


Ini kerana, masa kian suntuk buat pasangan negara itu apabila hanya tinggal Siri Super Premier Terbuka China (14-19 November) dan Hong Kong (21-26 November) akan menjadi medan buat mereka terus mengutip mata kedudukan.


Ketika ini, Kian Meng-Pei Jing berada di kedudukan ketujuh dalam perebutan untuk ke Siri Super Akhir di Dubai yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember depan, sekaligus memberikan sedikit tekanan kerana hanya lapan pemain atau beregu terbaik yang layak untuk beraksi dalam kejohanan itu.


“Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi terbaik, sama seperti ketika aksi di Terbuka Perancis.


“Jika tidak, peluang kami untuk beraksi di pentas Siri Super Dunia pasti musnah kerana beregu lain mampu memintas kami.


“Jadi mahu atau tidak, kami perlu berjuang habis-habisan dalam dua baki lagi kejohanan untuk memperbaiki kedudukan mata,” katanya.


Berdasarkan ranking Siri Super Akhir, Kian Meng-Pei Jing menduduki tangga ketujuh, manakala bagi ranking dunia pula mereka menghuni tempat ke-10.


Hanya lapan pasukan terbaik di ranking Siri Super Akhir layak untuk beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.2 juta) itu.


Bagi Kian Meng, beliau mahu menamatkan tahun 2017 untuk beraksi dalam kejohanan itu memandangkan ia bakal menjadi pengalaman pertama beraksi dalam Siri Super Akhir Dubai jika mereka berjaya melayakkan diri.


“Ia pasti memberi penutup yang indah buat kami andai impian itu tercapai,” kata Kian Meng yang sebelum ini pernah beraksi dalam acara perseorangan lelaki ketika memulakan karier peringkat senior,


Perlu bijak tangani tekanan


Untuk rekod, juara Masters Malaysia 2017 itu sudah beraksi lima kali di kejohanan bertaraf Siri Super iaitu Terbuka Malaysia, Australia, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan, namun aksi terbaik hanya melangkah di suku akhir Terbuka Indonesia.


Sementara itu, Pei Jing akui mula rasa tertekan untuk memburu slot ke Siri Super Akhir di Dubai, bulan depan dengan kejohanan hanya berbaki dua sahaja lagi.


Bagaimanapun beliau enggan faktor itu menganggu tumpuannya sehingga menjejaskan rentak persembahan di gelanggang.


Justeru itu katanya, beliau dan Kian Meng perlu bijak menangani tekanan itu dan turun beraksi seperti biasa.


“Memang jika sebut soal mental ia susah dijangka, tapi mahu atau tidak, kita perlu mengatasinya.


“Ini kerana kalau terlalu tertekan pasti ia memberi kesan kepada rentak kami, jadi untuk tidak mengganggu tumpuan sebaiknya kami bertenang dan fokus kepada persembahan di atas gelanggang,


“Kami juga sudah berbincang dengan jurulatih, kami akan menyelaraskan semula rentak dan memperkuatkan mental masing-masing,” katanya.


Kian Meng-Pei Jing dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama apabila akan menentang pasangan Hong Kong, Tang Chun Kan-Tse Ying Suet.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]