Gerakan berjanji akan berikan yang terbaik dalam PRU14

in Politik by


KUALA LUMPUR – Parti Gerakan sudah bersedia untuk menggempur kawasan-kawasan yang akan ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memberikan prestasi yang terbaik demi rakyat Malaysia, kata presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong.


Sehubungan itu, beliau mahu anggota parti berkenaan untuk berusaha lebih gigih serta bergerak mengikut peredaran masa kerana perjuangan mereka masih belum selesai.


“Saya berikrar, kami (Gerakan) akan menyampaikan prestasi yang lebih baik dalam PRU14 demi rakyat Malaysia dan negara. Dengan sokongan yang hadir hari ini, saya yakin selepas melihat semangat perjuangan yang membara dalam diri mereka,” katanya dalam ucapan dasar beliau semasa persidangan Perwakilan Nasional ke-46 di sini hari ini.


Gerakan kini hanya mempunyai dua kerusi di Dewan Rakyat dan tiga kerusi dewan undangan negeri selepas mengalami “kemunduran” pada PRU12 dan PRU13.


Menjadikan kemenangan parti tersebut pada pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014 sebagai pembakar semangat, Siew Keong berkata, pucuk pimpinan parti di Pulau Pinang dan pusat akan bekerjasama untuk memastikan calon Gerakan memenangi kerusi pilihan raya akan datang.


Siew Keong juga mengingatkan calon-calonnya untuk memiliki ‘mentaliti kemenangan’ dalam kesemua kerusi yang dipertandingkan pada PRU14.


Katanya, Gerakan merupakan parti pertama yang telah mengenal pasti calon-calon berpotensi seawal dua tahun lalu dan melantik mereka sebagai penyelaras di 12 kerusi Parlimen dan 33 kawasan Dun.


“Kami telah menerima pakai proses penyasaran mikro di kawasan pilihan raya, malah jangkauan besar-besaran pengundi serta mengenal pasti manifesto setempat di kerusi-kerusi yang dipertandingkan telah dibuat kerana kami mesti memahami kehendak para pengundi.


Siew Keong juga menyelar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan politik ketakutan untuk menakutkan rakyat seperti kononnya ekonomi Malaysia di tahap yang buruk.


Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hubungan luar Malaysia dengan negara lain telah bertambah baik hasil daripada lawatan ke China, India, Amerika Syarikat dan lawatan Raja Arab Saudi ke Malaysia, di mana pelaburan beratus bilion telah mengalir masuk.


“Malaysia telah mengamalkan kerjasama dan dasar asing yang mesra berlandaskan kepada mesra perdagangan yang akan mewujudkan beratus ribu peluang pekerjaan untuk rakyat jelata dan sekali gus memacu ekonomi negara dengan mampu mencecah nilai RM2 trilion menjelang tahun 2025,” katanya. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]