ICGPA mampu bentuk mahasiswa berperibadi holistik

in Nasional by


BESUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap pelaksanaan Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) pada tahun 2019 mampu membentuk penuntut universiti di negara ini dengan keperibadian yang holistik (menyeluruh) dan seimbang.


Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata melalui iCGPA, KPT bukan sahaja dapat memantau malah dapat menilai prestasi akademik mahupun kemahiran profesional sepanjang pengajian mereka di universiti mengikut gred tertentu.


Katanya, dengan cara itu juga ia dapat membentuk diri malah berjaya menghindari pelajar daripada terjerumus kepada gejala-gejala yang kurang sihat seperti terlibat dalam isu rasuah.


“Lapan domain yang diperkenalkan dalam iCGPA dirangka membentuk pelajar ke arah pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran malah mempunyai tanggungjawab sosial dan bersikap positif terhadap profesionalisme apabila menamatkan pengajian di universiti nanti”, katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menandatangani plak Rumah Komuniti yang ke-165 di Kampung Gong Nering di sini hari ini.


Idris diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad semalam yang mengatakan kaji selidik pihaknya terhadap 1,000 mahasiswa tahun lepas mendapati 16 peratus daripadanya mahu menerima rasuah.


Dzulkifli berkata perkara itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi 18.5 peratus daripadanya turut menyatakan keinginan menerima rasuah jika tidak diambil tindakan.


Idris berkata sehubungan dengan pelaksanaan iCGPA itu juga, KPT telah memberi perhatian utama kepada nilai etika setiap pelajar universiti agar mereka tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara negatif semasa berada di universiti mahupun setelah menamatkan pembelajaran mereka nanti.


Beliau memberitahu KPT sentiasa mengawasi setiap pelajarnya melalui domain yang terkandung dalam iCGPA dari semasa ke semasa dan akan sentiasa memperbetulkan mana-mana pelajar sekiranya didapati menyimpang daripada apa yang digariskan.


Pada majlis itu, beliau menandatangani plak 10 buah Rumah Komuniti yang dibina sekitar daerah Besut hari ini masing-masing dua di Seri Medang dan Wakaf Gelang, serta sebuah di Gerda Mas, Beting Lintang, Kampung Tembila, Lapan Kotak, Alor Saji dan Gong Nering.- Bernama


 




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]