Lebih 80,000 aspirasi TN50 diterima

in Nasional by


ISKANDAR PUTERI – Lebih daripada 80,000 aspirasi masyarakat berkenaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) telah diterima oleh kerajaan sejak ia dilancarkan Januari lepas,  kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.


Kata beliau, angka itu hasil daripada penglibatan dua juta penduduk termasuk para penjawat awam dalam sesi dialog TN50.


“Kebanyakan aspirasi adalah mengenai pendidikan, kebajikan penjawat awam khususnya bagi perumahan dan integriti. Dalam soal pendidikan, ramai yang meminta agar ia diberikan secara percuma hingga ke peringkat universiti namun kalau di peringkat universiti, negara maju pun tidak buat tetapi kita akan ambil kira semua ini kerana ia ialah hasil dapatan aspirasi rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog TN50 yang dihadiri kira-kira 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan  Negeri Datuk Azmi Rohani


Ali berkata menyentuh kebajikan penjawat awam, ramai mengutarakan kebimbangan tentang isu perumahan. Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan mempunyai pelbagai cara untuk mengatasinya termasuk melaksanakan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang diunjurkan sebanyak 200,000 unit menjelang 2020.


Selain itu, kerajaan menerusi Bajet 2018 turut mengumumkan pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-Polis Diraja Malaysia (PPA1M-PDRM) manakala di peringkat negeri, pelbagai skim rumah mampu milik untuk rakyat dan juga penjawat awam, dilaksanakan.


Mengenai rasuah, ada pihak mencadangkan agar ia dijadikan musuh nombor satu negara dan kebetulan, ia sememangnya hasrat kerajaan yang mahukan negara bebas daripada rasuah pada masa depan.


“Ini bukan sahaja mengenai rasuah,  tetapi soal integriti dalaman. Kita boleh berikan pelbagai ceramah dan sebagainya tetapi yang penting ialah individu itu sendiri.


Jadi, kita akan meneruskan langkah-langkah pencegahan bagi menyedarkan penjawat awam bahawa apakah itu rasuah dan sebagainya, kerana ada yang tidak sedar telah melakukannya,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]