Lebih RM14j diperuntuk bantu pesawah terjejas banjir

in Nasional by


TELUK INTAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyalurkan bantuan berjumlah RM14.5 juta kepada 5,547 pesawah yang mengalami kerugian akibat banjir yang berlaku di Pulau Pinang, 4 November lalu.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bantuan berbentuk input pertanian seperti baja, racun dan benih padi akan disalurkan kepada golongan terbabit selepas bancian terperinci dibuat pihak kementerian.


“Pada ketika ini, kita sedang jalankan bancian secara terperinci berkaitan kerugian yang dialami para pesawah ini akibat banjir.


“Dianggarkan lebih 12,000 hektar kawasan yang terjejas dan ia memerlukan sekurang-kurangnya RM1,500 per hektar untuk dilakukan semula proses membajak, penanaman semula benih padi selain keperluan baja,” katanya ketika berucap merasmikan Arena Square Kospen, Kampung Kunci Air 4, Sungai Manik di sini, hari ini.


Arena square yang bernilai RM200,000 itu merupakan yang keenam dibina dalam kawasan Parlimen Pasir Salak.


​Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata selain pesawah, pihak kementerian juga telah menyalurkan bantuan lain kepada penduduk Pulau Pinang yang turut terjejas akibat bencana terbabit.


“Setakat ini tiada rungutan kita dengar berkaitan makanan tak cukup dan sebagainya cuma apa yang saya ketahui pada ketika ini mereka memerlukan barangan keperluan harian seperti tilam dan bantal,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Tajuddin menyifatkan bantuan yang dihulur kepada kerajaan Pulau Pinang membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan amat prihatin dan tidak sesekali meletakkan perbezaan politik sebagai satu kekangan.


Katanya walaupun ada pihak yang mempertikaikan bantuan itu, namun ia langsung tidak menggugat komitmen kerajaan Persekutuan untuk bersama menangani bencana tersebut.


“Apa orang nak cakap, cakaplah. Paling penting kita buat semua ini dengan niat untuk membantu sekaligus meringankan beban mangsa banjir di Pulau Pinang,” katanya.-Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]