Limpahan air Empangan Muda tidak sebabkan banjir

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Limpahan air di Empangan Muda ketika ini tidak akan menyebabkan  banjir kepada penduduk di kawasan hilir sungai seperti Kubang Pasu, Yan dan Alor Setar.


Jurucakap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata, walaupun kedudukan paras air di empangan itu ketika ini berada pada tahap 106.20 peratus (331.55 kaki), namun tiada pelepasan air secara tidak terkawal berlaku.


“Mada sentiasa bersedia untuk menguruskan lebihan air di kawasan empangan berikutan hujan yang turun dengan banyak sejak sebulan yang lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.  


Ketika ini, paras air di Empangan Pedu adalah sebanyak 91.38 peratus (314.97 kaki),  manakala Empangan Ahning sebanyak 78.92 peratus (354.20 kaki).


Sementara itu, dalam satu kenyataan Mada memaklumkan bahawa paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada pada tahap normal iaitu Sungai Pendang pada paras 1.78 meter, Sungai Ampang Jajar (1.04 meter), Sungai Padang Terap (14.67 meter), Sungai Bukit Pinang/Anak Bukit (4.26 meter) dan Sungai Bata pada paras 7.41 meter.


“Purata turunan hujan pula sebanyak 7.4 milimeter bagi 57 buah stesen (stesen yang mengambil data turunan hujan) yang berada dalam kawasan Muda,” menurut kenyataan itu.


Mada akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan keadaan air pasang besar di persisiran pantai dan paras takungan empangan juga akan dipantau dari semasa ke semasa.


“Mada akan melakukan proses merendahkan paras air di semua tali air dan parit bagi mengelakkan banjir daripada memasuki kawasan bendang,” katanya.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]