Pelabur Islam yakin dengan Kumpulan Public Gold

in Edisi Selangor KL by


PETALING JAYA – Sijil Pengiktirafan Patuh Syariah kepada Kumpulan Public Gold dijangka merancakkan pelaburan emas dengan peningkatan jualan kepada 50 peratus.


Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Louis Ng berkata, keyakinan pelanggan Islam yang sebelum ini waswas akan pelaburan emas meningkat melalui penerimaan sijil oleh Amanie Advisors sebuah syarikat perunding syariah.


Menurutnya, di samping perkhidmatan produk berkualiti dengan tawaran harga berpatutan, pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai pandangan pelanggan.


“Kami komited meningkatkan mutu perkhidmatan dan atas syor serta pandangan awam telah menggerakkan usaha ke arah pensijilan syariah yang dimulakan sejak tiga tahun lalu dalam kategori fizikal disusuli simpanan Gaps September lalu.


“Ia sangat membantu kami meningkatkan keyakinan pelabur yang sebelum ini ragu-ragu dengan urusan jual beli emas mengambil kira pandangan ilmuwan agama dan fatwa mengenai statusnya,” katanya selepas mengadakan Seminar Emas dan Syariah kali kesembilan, semalam.


Seminar berkonsep akademik itu dihadiri 300 peserta dan mengundang dua panel iaitu Pengerusi Eksekutif Amanie Advisors, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah.


Louis berkata, pihaknya bakal melebarkan pasaran ke Miri bagi menarik pelaburan baharu termasuk dari Brunei selepas Singapura dan Indonesia.


Sementara itu, Dr Mohd Daud berkata, emas adalah pelaburan mudah dengan kos rendah yang perlu diteroka oleh orang Islam.


“Masyarakat Islam perlu didedahkan dengan pelaburan emas yang memberikan manfaat bagi jangka masa panjang mengikut garis panduan pematuhan syariah.


“Seminar memberikan ilmu mengenai pelaburan emas membuka peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pencerahan dan merungkai persoalan berkenaan status urus niaga yang sebelum ini sering menjadi persoalan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]