Penagih tidak serik dijel 5 tahun, 2 sebatan

in Semasa by


KUALA TERENGGANU – Tidak pernah serik walaupun beberapa kali ditahan kerana menghisap dadah, seorang penagih akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini.


Tertuduh, Mohd Tarmizi Awang, 27, dari Kuala Terengganu itu juga turut diarahkan menjalani pengawasan selama dua tahun.


Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama.


Berdasarkan pertuduhan, Mohd Tarmizi didakwa menyalahgunakan dadah jenis Methamphetamine dengan memasukkan ke dalam badannya sendiri yang menjadi kesalahan kali kelima pernah dilakukan.


Mohd Tarmizi mengaku salah melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, jam 12.30 tengah malam pada 12 September 2016.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman  manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]