SPRM Johor akan tahan 100 individu

in Semasa by


ISKANDAR PUTERI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menjangkakan akan menahan lebih 100 individu termasuk penjawat awam membabitkan rasuah di negeri ini menjelang hujung tahun.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, walaupun pelbagai tangkapan dilakukan namun bilangan individu yang terbabit dalam gejala rasuah akan terus meningkat dan tidak dapat dibanteras sepenuhnya.


Katanya, isu berkenaan perlu dipandang serius dan jenayah rasuah seharusnya diletakkan sebagai musuh utama negara kerana menjadi punca kepada kegiatan jenayah lain.


“Di Johor Alhamdulillah, kepimpinan Johor sangat membantu saya dalam usaha banteras rasuah dan tahun ini sampai hujung tahun ini saya jangka lebih kurang dalam 100 tangkapan akan dilakukan.


“Apakah tangkapan yang ada itu satu perkara yang menunjukkan rasuah benar-benar dapat dibanteras dalam Johor. Saya rasa tidak, kerana setiap pengganti kepada 100 orang ini akan membuatkan perkara sama kerana rasuah sangat berkait kepada peluang dan ruang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan aspirasinya pada Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bersama-sama penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.


Selain itu Azmi berkata, kerajaan pada masa sama perlu meletakkan bilangan kes di mahkamah dan individu yang ditahan di pusat tahan sebagai indikator bagi mengukur tahap kemajuan negara.


“Dalam kita berusaha capai TN50 untuk semua rakyat, saya rasa pertamanya kita kena kembali semula pada diri kita bahawa kita melihat kepada indikator di dalam penjara di dalam rumah sakit atau pusat tahanan pendatang haram.


“Kalau masih ramai rakyat kita atau rakyat asing berada di situ dan peningkatan bilangan kes mahkamah bermakna pada masa itu kita masih belum mencapai sebagai negara maju yang kita impikan,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]