Tiada laporan diterima wabak penyakit bawaan air

in Nasional by


BALIK PULAU – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang masih belum menerima laporan berkenaan wabak penyakit bawaan air susulan kejadian banjir yang melanda negeri ini.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung penyakit kencing tikus, cirit-birit, demam dan sebagainya, namun pemantauan berterusan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku wabak penyakit bawaan air.


“Kami minta semua penduduk di negeri ini rujuk panduan keselamatan sebelum, semasa dan selepas banjir. Kami menasihatkan penduduk supaya meminum air yang dimasak dan mengelakkan terdedah kepada air banjir supaya tidak dijangkiti wabak bawaan air,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2017 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.


Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr M. Sukumar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Rokiah Mohd.


Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan  ditenggelami air antara 0.2 dan 1 meter diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.


Setakat ini, banjir terburuk di Pulau Pinang itu telah meragut tujuh nyawa.


Sementara itu, Dr Sukumar berkata dua klinik iaitu Klinik Desa Lahar Yooi di daerah Seberang Perai Utara dan Klinik Pergigian Perai masih belum beroperasi kerana terjejas akibat banjir sejak Sabtu lepas.


Beliau berkata blok-blok yang terjejas akibat banjir di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya pula sudah boleh digunakan dan beroperasi seperti biasa. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]