Tindakan Zamihan dipantau KDN

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin dibidas susulan tersebarnya video pendakwah tersebut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kecewa dengan sikap Zamihan yang mengecam Perdana Menteri dalam video tersebut.


Menurutnya, KDN tidak mempertikaikan kewibawaan pendakwah itu dalam menjalankan tugas mendamaikan pihak yang terlibat dalam aktiviti keganasan.


“Tapi tindakan peribadi dia itu sendiri.. kerana sebagai pegawai kerajaan beliau tidak boleh bertindak secara individu.. secara peribadi. Beliau merupakan anggota kerajaan dan setiap perkataan yang beliau tuturkan kepada awam itu menggambarkan imej dan intergriti KDN itu sendiri.


“Jadi saya minta Ustaz Zamihan untuk berhenti daripada bercakap.. berfikir dahulu sebelum bercakap dan jangan lagi mensensasikan keadaan yang sekarang ini agak tegang. Tambah lagi dengan masalah yang berlaku di Arab Saudi.. di Lebanon.. masalah yang berlaku dengan ISISnya.. dengan Daesh,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media program Sarapan Pagi Bersama Rakyat di Taman Cempaka di sini hari ini.


Ahli Parlimen Pulai itu mengulas mengenai video pendakwah kontroversi itu yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri kerana memberikan tanah kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.


Nur Jazlan berkata, segala pertuturan Zamihan kini dipantau kerana dibimbangi boleh menimbulkan masalah.


“Saya minta beliau untuk senyap. Kalau beliau terus lagi untuk menyusahkan kementerian, kita akan menilai semula kegunaan dia kepada kementerian dalam mendamaikan pihak pengganas,” katanya.


Zamihan merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada KDN untuk menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]