Vingada buat beberapa perubahan hadapi perlawanan esok

in Sukan by


HARIMAU Malaya akan membuat beberapa perubahan dalam pasukan bagi pertemuan pusingan kedua  Kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara selepas tewas 1-4 kepada pasukan  bimbingan Jorn Andersen itu dalam perlawanan pertama dua hari lalu.


Ketua jurulatih Nelo Vingada berkata perubahan itu penting memandangkan beberapa pemain masih cedera serta belum pulih daripada keletihan.


“Ramai pemain masih belum pulih daripada perlawanan pertama yang berlangsung kira-kira 48 jam lalu. Keadaan adalah sukar namun kami ada tanggungjawab untuk bermain dan bermain dengan baik. Kami rasa kami mampu bermain dengan baik,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium i-mobile, hari ini.


Esok, pertemuan antara Malaysia dan Korea Utara akan bermula pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia).


Menurutnya perlawanan dua hari lepas mendedahkan jurang besar kualiti dan standard antara Liga Malaysia dan perlawanan antarabangsa.


Perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara kata beliau berlangsung dalam rentak pantas  yang pemain Malaysia tidak biasa.


“Mereka (pemain Malaysia) dipaksa berlari lebih pantas dan  lama daripada yang mereka biasa dalam Liga Malaysia,” katanya, menambah rentak dan kualiti  liga tempatan Malaysia perlu ditambah baik dan setara dengan perlawanan antarabangsa.


Beliau menggambarkan Liga Malaysia sebagai ‘kereta biasa’ manakala perlawanan antarabangsa adalah ‘kereta super’.


Bagaimanapun Vingada berkata beliau nampak peningkatan dalam kualiti dan standard perlawanan Liga Malaysia sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Mei lepas, namun masih banyak usaha perlu dilakukan.


Jurulatih berusia 64 tahun dari Portugal itu yang dikritik hebat susulan kekalahan Malaysia kelmarin, yang keenam selepas dilantik, mengingatkan peminat Malaysia bahawa usaha untuk mengubah nasib bola sepak Malaysia mengambil masa dan tidak mengharapkan kejayaan dalam tempoh semalaman.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]