273 mangsa banjir terima wang ihsan

in Edisi by


BANDAR JENGKA – Seramai 273 mangsa banjir Parlimen Krau yang berpindah ke pusat pemindahan dan didaftarkan menerima bantuan wang Ihsan Monsun Timur Laut 2016/2017 berjumlah RM136,500.


Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, setiap ketua isi rumah menerima tunai bernilai RM500 daripada Kerajaan Pusat.


Katanya, bantuan tersebut merupakan keikhlasan kerajaan Pusat di dalam mengatasi bebanan yang dihadapi mangsa banjir berikutan banyak harta benda musnah.


“Ada mangsa banjir yang berpindah ke rumah keluarga atau membuat khemah di kawasan tanah tinggi tanpa berpindah ke pusat pemindahan banjir yang ditetapkan pihak berkuasa.


“Sehubungan itu saya meminta mereka yang tercicir dan tidak didaftarkan itu supaya segera berdaftar dengan penghulu dan Ketua Kampung untuk membolehkan mereka diberikan pertimbangan mendapatkan bantuan,” katanya.


Beliau yang juga Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan Monsun Timur Laut 2016/2017 Daerah Temerloh bagi Parlimen Kuala Krau di sini.


Hadir sama, Adun Jenderak, Datuk Seri Mohamad Jaafar, Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial  Putra Jaya Mohamed Zahari Razali dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Fadzli Mohd Kenali.


Beliau menegaskan, kerajaan ikhlas dalam membantu rakyat tanpa pilih walaupun mereka berada di bawah pemerintahan pembangkang.


“Tiada istilah anak tiri atau anak emas. Bagi kerajaan pusat kerana dasar kita adalah membantu rakyat pelbagai kaum dan etnik tanpa memilih fahaman politik,’ tegasnya.


Dalam pada itu beliau mengingatkan penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir supaya peka dan bersedia untuk berpindah jika mendapat arahan pihak berkuasa.


Beliau turut menegur segelintir mereka yang mengabaikan arahan pihak berkuasa untuk berpindah, tetapi menimbulkan situasi kelam kabut apabila paras air melimpahi rumah.


Tambahnya, tindakan berpindah dan bersiap awal bukan sahaja boleh mencepatkan proses pemindahan dan penyelarasan , malah boleh mengelakkan sebarang kejadian seperti  lemas berlaku.


Beliau memuji anggota penyelamat terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis, Rela, Jabatan Kesihatan dan NGO yang telah bersiap siaga dan menjalankan tugas secara bersepadu.


Hubungan seperti ini ujarnya, perlu dikekalkan setiap masa supaya segala masalah yang dihadapi dapat dilakukan secara mudah dan pantas.


 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]