Bunuh anak tiri: Hukuman penjara ditambah 15 tahun

in Semasa by


PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap seorang operator pengeluaran wanita atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat anak perempuan tirinya berumur empat tahun.


Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Kamardin Hashim membenarkan rayuan pendakwaan yang memohon tempoh penjara lebih panjang terhadap Siti Zabrina Adin.


Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Seremban ke atas Siti Zabrina pada 14 April tahun ini, nyata tidak mencukupi.


Ketika mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan menggantikannya dengan penjara 15 tahun bermula dari tarikh penahanan Siti Zabrina pada 8 Ogos 2015, hakim mahkamah rayuan berkata rayuan pendakwaan itu mempunyai merit.


Siti Zabrina, 42, pada mulanya menghadapi tuduhan membunuh tetapi kemudian mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Nur Damia Amani Mohd Azam, empat tahun 11 bulan, di sebuah rumah di Taman Lukut Makmur, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara  3.30 petang dan 5.15 petang 7 Ogos 2015.


Menurut fakta kes, tertuduh mengambil penyangkut baju dan memukul tangan serta kaki kanak-kanak itu selepas dia berang apabila anak tirinya itu tidak mahu makan, sebaliknya memberi makanan itu kepada kucing peliharaannya, sebelum menyuruhnya pergi mandi.


Dia sekali lagi memarahi Nur Damia kerana enggan mandi, tetapi kanak-kanak itu tidak memberi sebarang respons, hanya memandangkan ke arah Siti Zabrina, mengakibatkan wanita itu semakin marah lalu menendang dada kanak-kanak itu sehingga dia  tersandar pada dinding bilik.


Nur Damia kemudian pergi ke bilik air untuk mandi dan Siti Zabrina bergegas ke bilik air setelah mendengar benda terjatuh lau mendapati kanak-kanak itu terbaring di sebelah kiri mangkuk tandas dan tidak  bernafas.


Bapa kanak-kanak itu menghantarnya ke klinik tetapi dia disahkan meninggal dunia di klinik itu.


Laporan bedah siasat menunjukkan terdapat kesan luka lama dan baharu pada mayat Nur Damia dan kecederaan pada dadanya menjadi punca kematiannya.


Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi menegaskan supaya mahkamah menambah tempoh hukuman penjara berikutan kecederaan yang terdapat pada kepala, dada dan perut selain patah tulang rusuk.


Peguam S. Vasagarajan yang mewakili Siti Zabrin pula berhujah anak guamnya mengalami tekanan perasaan dan kemurungan. –Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]