Capai negara berpendapatan tinggi?

in Nasional by


PROGRAM Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 antara lainnya ialah memastikan negara kita muncul sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Selepas tujuh tahun diperkenalkan, biarpun pendapatan negara kasar (PNK) Perkapita negara telah meningkat kepada RM40,713, namun jika menukar kepada nilai dolar Amerika, ia hanya AS$9,630.


Oleh itu, jumlah pendapatan ini masih jauh berbanding dengan apa yang ditetapkan oleh Bank Dunia, iaitu AS$12,235 untuk digelar sebagai negara berpendapatan tinggi.


Menurut analisis yang dibuat Nanyang Siang Pau, negara kita masih gagal keluar daripada perangkap ekonomi pendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


“Hanya tinggal tiga tahun sahaja kita akan melangkah masuk tahun 2020. Namun jika dilihat pada keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat, apakah kita mampu mencapai negara berpendapat tinggi?


“Untuk mencapai PNK sebanyak AS$S12,235 (RM51,773), matlamat ini dilihat semakin hari semakin sukar untuk dikecap oleh rakyat negara kita,” tulis akhbar ini.


Sebagai contoh, kata akhbar ini, PNK negara kita pada tahun 2012 ialah AS$10,038.


“Bagaimana pun, akibat nilai ringgit susut berbanding dolar Amerika, PNK negara kita pada tahun lalu telah menurun kepada AS$8,424.


“Kita bukan sahaja gagal menuju ke arah negara pendapatan tinggi, malahan sudah jatuh ke belakang,” tulis akhbar ini lagi.


Menurut akhbar ini, selain penyusutan nilai ringgit, masalah terlalu bergantung kepada khidmat pekerja asing dan penghijrahan pakar-pakar tempatan ke negara asing turut menjadi punca Malaysia sukar untuk disenaraikan sebagai negara pendapatan tinggi untuk tiga tahun akan datang.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]