Derita sakit jantung sejak lahir

in Edisi Johor by


KLUANG – Seorang suri rumah perlu berjimat-cermat demi memastikan keperluan anaknya, Mohammad Akriff Zafran Mohamad Nor Fitri, 2, yang menghidap penyakit jantung dapat dipenuhi.


Maisurah Zahariah, 25, berkata, anaknya dikesan mengalami masalah jantung selepas dilahirkan sehingga dia terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan selama lebih sebulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.


Menurutnya, Mohammad Akriff Zafran terpaksa tinggal di HSI selama 35 hari berikutan tidak mampu untuk bernafas dengan normal.


“Saluran darah di bahagian jantungnya kecil, selain jantung bahagian kanan mengalami kebocoran. Saiz jantung bahagian kiri juga lebih kecil.


“Saya dan suami (Mohamad Nor Fitri Me Baharun, 23) terpaksa habiskan lebih kurang RM500 sebulan untuk beli susu dan lampin pakai buang. Anak saya tak boleh minum susu sembarangan kerana dia mudah dijangkiti kuman.


“Walaupun susunya mahal tapi saya dan suami akan cuba belinya juga demi anak tunggal kami ini,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di 188, Jalan 18, Taman Delima 2, Kluang, ketika menerima kunjungan Kelab Pelancongan Senyum Berkat Enterprise (SBE) Batu Pahat dan Persatuan Kebajikan Amal Ikatan Kasih Kluang, semalam.


Maisurah berkata, pendapatan suaminya yang bekerja di sebuah pasar raya di Bandar Kluang banyak dihabiskan untuk keperluan anaknya dan membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan.


Akuinya, dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan, ia memang tidak cukup ditambah setiap dua minggu anaknya pasti akan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana sering kali diserang selesema dan batuk.


“Anak saya tak macam kanak-kanak lain, daya ketahanan badannya tak kuat dan mudah dijangkiti penyakit. Tumbesaran anak saya juga agak lambat.


“Apa pun saya bersyukur, walaupun tumbesarannya lambat dia petah berkata-kata. Cuma dia tidak boleh berjalan laju dan naik tangga sebab mudah penat,” katanya.


Menurutnya, anaknya masih dalam pemantauan doktor dan setiap tiga bulan sekali dia akan membawa Mohammad Akriff Zafran ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan jantung.


“Dalam masa terdekat ini tiada sebarang pembedahan akan dilakukan, cuma pemantauan sahaja. Tapi jika serius mungkin ia akan dibuat,” katanya.


Sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 151146635614 milik Maisurah


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]