Dialog TN50 telah dekati lebih 1.5 juta belia

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan telah berjaya mendekati lebih 1.5 juta belia di seluruh negara menerusi dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) sejak ia diperkenal Januari lalu, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.


Beliau berkata 60,000 aspirasi golongan muda dalam pelbagai bidang telah dikumpulkan melalui pelbagai saluran termasuk secara bersemuka menerusi dialog dan secara dalam talian.


“Untuk  segmen belia, kita telah mendampingi 1.5 juta belia yang mana kita telah gerakkan jentera di bawah Kementerian Belia dan Sukan serta beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Kemajuan  Luar Bandar dan Wilayah untuk mendekati belia secara menyeluruh termasuk belia di luar bandar,” katanya.


Laporan aspirasi belia TN50 akan dibentangkan pada Januari depan dan perancangan rasmi kerajaan iaitu Dasar TN50 pula akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Sept tahun depan bersempena Hari Malaysia,  katanya pada Program Kolaborasi Korporat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan TN50 di sini hari ini.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.


Khairy berkata menerusi kolaborasi itu, pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi memperluaskan maklumat mengenai TN50 dalam kalangan pengguna pengangkutan  awam.


“Prasarana akan membantu mengiklankan jenama TN50 menerusi  paparan gambar dan slogan TN50 yang dipamerkan di dua tren transit aliran ringan (LRT) dan 44 bas perantara Rapid KL.


“Kerjasama ini merupakan contoh penglibatan pihak lain termasuk agensi swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  yang turut sama menyumbang untuk kita menjayakan TN50… TN50 ini merupakan suara semua rakyat Malaysia. Ia bukan hanya usaha kerajaan tetapi juga usaha pihak lain,” katanya.


Sementara itu, Azmi berkata sejak Ogos lalu Prasarana telah melantik 10 Duta Muda TN50-Prasarana yang dipilih dalam kalangan belia di bawah program ‘Strategic Prasarana Executive Enhancement and Development Scheme’.


“Duta ini akan mengumpulkan aspirasi dalam kalangan pengguna pengangkutan awam dan hari ini 10 Aspirasi Prasarana juga dikemukakan antaranya Aspirasi Bebas Tiket yang mana pengguna mahukan revolusi dalam sistem tiket pengangkutan awam yang hanya perlu melalui imbasan wajah dan harga tiket terus dicaj kepada akaun masing-masing,” katanya.


Aspirasi Prasarana itu diserahkan kepada Khairy. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]