Dua tekong Vietnam ditahan SPRM rasuah anggota APMM

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Padah cuma merasuah  anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua tekong warganegara Vietnam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Kluang, di sini, semalam.


Dua orang suspek berusia 27 dan 28 tahun itu ditahan kerana disyaki cuba merasuah seorang anggota APMM berpangkat Bentara Kanan yang bertugas di APMM Mersing sebanyak RM10,000 ketika pengadu melakukan rondaan Operasi Perkasa Selatan di Perairan Pulau Harimau, di sini.


Hasil siasatan yang dijalankan, wang tersebut sebagai dorongan bagi melepaskan dua bot Vietnam yang melakukan beberapa kesalahan antaranya gagal mengemukakan lesen bot selain dua orang tidak mempunyai passport yang sah dan memiliki peralatan tangguk tunda di atas bot.


Kedua-dua tekong bot itu juga ditahan kerana memberikan wang rasuah terlebih dahulu kepada pengadu berjumlah RM500 dan RM800 bagi melepaskan bot mereka atas kesalahan yang sama.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(b)Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan, hari ini.


Terdahulu SPRM dan APMM melancarkan Ops Armada sejak Januari lalu dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya melibatkan isu pencerobohan bot nelayan di perairan Malaysia.


Menerusi kerjasama ini hasil maklumat diperolehi dan dikumpul selepas disyaki wujudnya aktiviti rasuah dan salah guna kuasa berhubung pencerobohan nelayan asing yang menggunakan orang tengah ataupun runner untuk berunding dengan agensi-agensi penguatkuasa di Malaysia agar tindakan tidak diambil ke atas kegiatan mereka.


Sindiket ini dikatakan beroperasi secara haram melibatkan aktiviti penangkapan hasil laut di kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung, perairan Johor, Sabah dan Sarawak.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]