Geng Temenggong aktif samun tumpas

in Edisi Johor by


KULAI – Kumpulan penjenayah dikenali geng Temenggong yang aktif melakukan kegiatan samun, pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini sejak awal tahun ini akhirnya tumpas dengan tertangkapnya tujuh ahlinya, Khamis lepas.


Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, kesemua lelaki yang ditahan dalam dua serbuan berasingan, kira-kira jam 3 pagi itu berumur 15 hingga 27 tahun termasuk dua remaja yang sudah tidak bersekolah


“Bertindak di atas maklumat kes pecah rumah di kawasan Kulai, sepasukan anggota Balai Polis Kulai diketuai Ketua Balainya, Inspektor Hairi Rosli telah membuat dua serbuan berasingan di kawasan perumahan flat Temenggong dan berjaya menahan ketujuh-tujuh suspek itu.


“Kita turut merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan terbabit termasuk parang dan helmet selain barang disyaki barangan hasil kegiatan itu yang keseluruhannya berjumlah RM 20,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Razak berkata, polis telah mengenalpasti seorang lagi suspek dipercayai anggota kumpulan itu yang masih bebas dan akan membuat tangkapan dalam tempoh terdekat.


“Kumpulan ini mendedahkan penglibatan mereka dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun 2017 dan dipercayai telah melakukan lebih 20 kes pecah rumah, samun dan ragut.


“Hasil siasatan awal mendapati tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.


Beliau berkata, ujian air kencing mendapati lima suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine.


“Antara modus operandinya adalah menyasarkan pekerja asing dan wanita yang sedang menunggu untuk pergi kerja pada awal pagi,” katanya.


Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.


“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri, Seksyen 457 KK kerana pecah rumah dan curi, Seksyen 392 KK kerana merompak dan Seksyen 395/397 KK kerana bersamun berkawan dan bersenjata serta Undang-undang Pencegahan Jenayah (Poca),” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]