‘Pas pembangkang paling baik’

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Pembangkang disaran mencontohi sikap Pas yang disifatkan pembangkang paling baik dan serta berupaya memainkan peranan secara matang, bukan membangkang sewenang-wenangnya apa yang dilakukan kerajaan untuk rakyat dan negara.


Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, ini kerana politik negara tidak memerlukan pembangkang yang cuba menimbulkan provokasi dan menuduh kerajaan secara melulu sehingga boleh mencetuskan suasana tidak keruan dalam negara.


“Pas berfikiran secara terbuka menerima yang betul, manakala yang lari dari landasan agama, dia melihat perkara itu sebagai tidak betul. Kalau perkara yang betul dia menyokong dan dia bersama kita (BN).


“Itu saya nampak cara Pas ini menunjukkan bahawa pembangkang boleh berbincang dan duduk semeja untuk capai negara maju. Inilah pembangkang yang kita cari, bukan membangkang untuk merosakkan negara, adu domba hingga menyebabkan berlakunya pergaduhan dan menimbulkan huru-hara dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Beliau turut menyelar sikap pemimpin Bersatu yang sanggup keluar negara memburukkan negara sendiri yang boleh menjatuhkan maruah dan imej negara, menghakis kepercayaan pelabur serta memberi kesan dalam merealisasikan negara ke arah ekonomi yang berpendapatan tinggi.


Jelasnya, tindakan sedemikian yang sebenarnya bersifat peribadi hanya mendatangkan kerugian kepada negara kerana jelas menunjukkan pembangkang sedemikian sebenarnya tidak mahu melihat perubahan negara yang lebih hebat.


“Dalam konteks pembangkang, hendak membangkang boleh tapi jangan hancurkan negara sebab itu saya kata pembangkang yang paling baik adalah Pas. Bukan masalah kita hendak berbaik dengan Pas tapi sebab kita lihat dia boleh menerima, bersikap terbuka, boleh duduk bersama dan berbincang,” katanya.


Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu turut menekankan sikap matang pembangkang membantu memberi keseimbangan terhadap persekitaran politik negara sekali gus melancarkan usaha kerajaan dalam merealisasikan matlamat mencapai ke arah negara maju.


Katanya, pembangkang perlu memahami sesuatu isu dengan baik dan tidak seharusnya mengambil sikap menuduh atau menuding jari dan melihat kelemahan kerajaan secara membabi buta kerana ia boleh memberi kesan negatif ke arah usaha dan komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan negara.


“Kita tidak salahkan pembangkang kerana memang kerja dia membangkang. Jadi pembangkang hari ini kalau boleh jadilah pembangkang seperti Pas yang membangkang secara matang,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]