Pati terkejut Imigresen ‘gegar’ hujung minggu

in Edisi by


BATU CAVES – Sekumpulan pekerja warga asing terkejut dan tidak menyangka akan diserbu pada hari minggu.


Serbuan Ops Ikrar di sebuah pasar raya, di sini, dijalankan kira-kira jam 6.30 petang, semalam hasil maklumat dan risikan.


Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, dalam serbuan itu, seramai 132 warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 63 orang telah ditahan atas kesalahan imigresen.


Katanya, pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun ini terdiri daripada 32 lelaki dan 31 wanita membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Sri Lanka dan Mynmar.


“Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, pas tamat tempoh dan menyalahgunakan pas.


“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


Beliau berkata, ketika serbuan kebanyakan warga asing ini sedang bekerja di medan selera dan kiosk pasar raya terbabit.


Tambahnya, ini adalah serbuan kali kedua yang dijalankan pihaknya di pasar raya terbabit.


“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke pejabat penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]