Peningkatan kemalangan industri membimbangkan

in Nasional by


KOTA KINABALU – Jumlah kemalangan industri dan semasa dalam perjalanan pergi dan balik kerja dalam tempoh lima tahun sejak 2012 di seluruh negara adalah membimbangkan, kata  Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye.


Beliau berkata mengikut statistik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bilangan  kemalangan industri mencatat peningkatan 0.02 peratus daripada 35,296 kes pada 2012, kepada 35,304 kes tahun lepas.


Jumlah kemalangan dalam perjalanan melibatkan pekerja berulang-alik dari rumah dan tempat kerja, lebih membimbangkan dengan mencatat peningkatan 19 peratus daripada 26,256 kes pada 2012, kepada 31,314 kes pada tahun lepas.


“Ini perkara yang menjadi kebimbangan, seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri Richard Riot Jaem), dan menteri arahkan Niosh dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta semua agensi berkaitan di bawah kementerian untuk memberi perhatian serius.


“Sudah tentu, perkara itu tidak dapat dilaksanakan tanpa penglibatan majikan kerana pekerja yang bekerja di kilang atau dalam industri kecil, mod pengangkutan mereka biasanya motosikal,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kelima, di sini hari ini.


Lam Thye menganggarkan lebih 60 peratus kemalangan jalan raya di negara ini mengakibatkan kematian melibatkan penunggang motosikal.


“Setiap hari, kira-kira 20 orang maut di jalan raya di seluruh negara dan kebanyakannya penunggang motosikal,” katanya.


Beliau berkata Niosh, DOSH dan Perkeso akan terus bekerjasama dengan majikan dan kerajaan negeri bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, yang turut akan melibatkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]