Rejaman Fadzil pacu kemenangan Bison

in Sukan by


PEMAIN kebangsaan, Ahmad Fadzil Mustafa menampilkan aksi  terbaiknya di Sepaktakraw League (STL) Premier musim ini apabila rejaman bertenaganya membantu Perak Bison menundukkan Selangor Pistons 2-1 di Stadium  Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.


Kemenangan itu sekaligus membolehkan Bison pendatang baharu  melonjak ke tangga kedua dengan 14 mata hasil tujuh kemenangan seterusnya semakin hampir mengesahkan kedudukan di tiga teratas.  


Jurulatih, Ismi Hissan Ismail berkata: “Biasanya setiap minggu kita catat satu menang, satu kalah, ini kali pertama kita menang dua perlawanan dalam seminggu. Ini dibantu komitmen tinggi pemain, dan mereka juga menterjemahkan arahan dan taktikal yang saya bagi dengan begitu baik.


“Yang terkilan cuma kita sasarkan menang straight set kerana set pertama kita menang mudah, tapi di set kedua momentum kita lari, Selangor juga bawa masuk killer utama dia.


“Jadi saya terpaksa ubah taktikal bawa masuk Fadzil dan Yus (Hanif Rosli) untuk mengacau rentak permainan mereka, dan syukur kita berjaya.”


Bison bermula dengan Meor Zulfikar Mat Amin, Izham Idris serta perejam muda berusia 17 tahun di set pertama dan mereka terlalu unggul untuk disaingi oleh trio Sufi Hashim-Muqlis Borhan-Ali Alhamidi Ayob apabila menang  mudah 21-4.


Pistons memperkemas permainan dan kemasukan Norshahrudin Ghani menggantikan Ali Alhamidi menyaksikan mereka memenangi set kedua 21-16.


Begitupun Fadzil yang sebelum ini bergelut kecederaan terlepas aksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 beberapa kali memerangkap trio Selangor dengan libasan padu sekaligus memacu kemenangan 21-12 buat Bison di set ketiga.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]