8,000 pelancong India dijangka banjiri Melaka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Seramai 8,000 pelancong dari Wilayah Utara India dijangka membanjiri negeri ini mulai 19 Januari depan hasil usaha promosi kerajaan negeri dalam mencari pasaran baharu destinasi pelancongan antarabangsa.


Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Melaka, Jefri Munir berkata, pelancong dari negara tersebut bakal melonjakkan lagi pasaran pelancong di Malaysia, khususnya untuk negeri ini.


“Ia dihasilkan melalui usaha Syarikat Jejak Warisan Tours & Travel (JWWT) Sdn. Bhd. Melaka dengan sokongan pihak kami, Pejabat Tourism Malaysia New Delhi ekoran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ray Foundation New Delhi yang ditandatangani pada 8 Oktober lalu di Dehradun City, India.


“Bagi menjayakan usaha yang dilakukan ini, pihak JWWT telah menandatangani Persefahaman Kerjasama dengan beberapa pemilik dan pengusaha produk serta tarikan pelancongan di negeri Melaka,” katanya pada sidang media sebelum MoU tersebut berlangsung melibatkan Syarikat JWWT bersama beberapa pengusaha tarikan pelancongan negeri Melaka di sini, semalam.


Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Nazary Ahmad dan Presiden Dewan Usahawan India Malaysia (IECM), K. A. Bharat.


Sementara itu, Jefri berkata, kerjasama itu juga mendapat sokongan padu daripada syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mempunyai laluan setiap hari ke wilayah tersebut.


“Sebagai permulaan, delegasi seramai 18 orang terdiri daripada golongan akademik dan usahawan dari negeri Uttarakhand, India akan mengadakan lawatan suai kenal ke Malaysia, khususnya negeri Melaka bagi merasai sendiri pengalaman percutian di sini,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]