Anak, isteri penguat semangat

in Edisi Utara by


BUTTERWORTH – Seorang pesakit di Kampung Bagan Tambang, Teluk Air Tawar di sini berharap dapat pulih seperti sedia kala bagi meneruskan perniagaan yang diusahakan untuk menampung kehidupannya sekeluarga.


Mohd Adnan Sudin, 61, yang mengalami masalah paru-paru berair, buah pinggang dan jantung berkata, penyakit dihidapinya menyebabkan dia tidak sekuat dahulu dengan pergerakan terbatas dan perlu dibantu untuk bergerak.


“Dulu saya masih kuat untuk berniaga nasi ayam di pasar malam, tak jauh dari rumah. Itu masa saya sihat dululah. Buat masa sekarang isteri dan anak saudara yang meniaga sebab la memang tak berdaya.


“Selepas disahkan ada masalah paru-paru berair, buah pinggang dan jantung, badan terus susut, selera makan pun kurang. Sebelum ni agak teruk, nak bangun pun susah. Dalam dua tiga hari ni pulih sikit, cuma kena ada orang papah kalau nak bergerak. Makan pun tak boleh makanan berat,” katanya.


Bagaimanapun, bapa kepada enam cahaya mata ini bersyukur kerana isteri, anak dan keluarga tidak putus-putus memberi semangat kepadanya.


“Saya kuat sebab ada anak isteri, depalah yang jaga dan uruskan saya. Alhamdulillah, saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang sabar biarpun dalam keadaan begini. Yang penting sekarang saya nak sembuh, nak berniaga semula dengan isteri dan anak saudara,” katanya.


Isterinya, Munizah Daud, 65, berkata, dia yang bekerja sebagai pekerja am di sekolah berhampiran turut berniaga di pasar malam bagi menampung perbelanjaan keluarga.


“Boleh la tampung belanja sikit-sikit. Anak-anak pun ada bantu, cuma anak keempat tengah cari kerja sekarang.


“Kami sekeluarga akan menempuhi ujian ini selagi termampu tanpa menagih simpati sesiapa, tapi kalau ada yang sudi menghulurkan sumbangan, terpulanglah,” katanya.


Sementara itu, Penyelaras Kadun Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad hadir menziarahi keluarga ini di rumah mereka dan menyampaikan kerusi roda sumbangan Zakat Negeri Pulau Pinang.


“Insya-ALLAH, selepas ini kita akan bantu dari segi keperluan keluarga ini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]