'DBP boleh buat apa sahaja'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh lakukan apa sahaja asalkan tidak melanggar undang-undang.


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, DBP merupakan satu badan yang mesti menjaga kedaulatan dan bahasa kebangsaan.


“Mereka boleh buat apa yang mereka suka, tetapi dengan konteks tidak langgar undang-undang. Asalkan denda itu di bidang kuasa mereka, mereka bebas ambil apa juga tindakan.


“Bahasa itu jiwa bangsa, dikenali sebagai bahasa kebangsaan. Saya tidak mahu bahasa kebangsaan ini diletakkan sebagai bahasa yang dipinggirkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di Parlimen, hari ini.


Mohamed Nazri berkata demikian berhubung mana-mana individu yang didapati bersalah menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul, termasuk dalam iklan dalam talian, tidak lama lagi akan didenda sehingga RM1,000, sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.


Difahamkan, langkah yang dikuatkuasakan oleh DBP telah dipersetujui secara prinsip oleh Putrajaya.


“Kalau sampai ke tahap itu, orang Malaysia tidak hormati bahasa kebangsaan. Tidak ada mana-mana wilayah di negara ini tidak hormat bahasa kebangsaan,” kata Nazri.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]