Dua pekerja maut tersepit dalam mesin bijih besi

in Edisi by


GUA MUSANG – Dua pekerja warga asing maut tersepit dalam mesin melombong bijih besi di tapak perlombongan bijih besi Kampung Aring 5 di sini, semalam.


Mangsa warga Bangladesh dikenali Mohamad Younus Ali, 38, dan warga Pakistan Saleem Shah, 29, ditemui tersepit dalam mesin itu dalam kejadian pada 11.25 pagi.


Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa berada dalam mesin berkenaan untuk membersihkan bilah palong.


“Ada seorang lagi pekerja di situ (di luar mesin) dipercayai rakan mangsa disyaki membuka suis mesin tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam mesin berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Mohd Taufik berkata kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa itu disedari seorang pekerja selepas mereka tidak keluar daripada mesin tersebut.


Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki membuka suis mesin itu, yang menghilangkan diri selepas kejadian tersebut.


Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. –Bernama


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]