Gesa tingkat usaha bentuk masyarakat serantau

in Global by


MANILA – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada Selasa menggesa pertingkatkan usaha untuk membentuk masyarakat serantau dalam kalangan negara Asia Tenggara dan tiga negara Asia Timur termasuk China serta Jepun, lapor agensi berita Yonhap.


Gesaan itu disuarakan pada sidang kemuncak Asean Campur Tiga, yang melibatkan pemimpin 10 negara Asean, termasuk pemimpin Korea Selatan, Jepun dan China.


“Presiden Moon menegaskan perlunya untuk terus membangunkan Asean Campur Tiga, yang melindungi kehidupan rakyat di rantau itu,” menurut kenyataan pejabat presiden.


Selain itu, Moon juga mahu usaha diperbanyakkan untuk meliberalisasikan lagi perdagangan dan meningkatkan integrasi ekonomi di rantau berkenaan selari peningkatan kerjasama dalam aspek keselamatan makanan.


Presiden Korea Selatan tersebut, turut berikrar akan meningkatkan kerjasama dengan Jepun dan China untuk membantu mewujudkan masyarakat Asia Timur.


Menyetuh mengenai isu Korea Utara, Moon menyeru negara Asean dan kedua-dua negara Asia Timur untuk membantu menamatkan kebuntuan berhubung isu nuklear secara aman, sambil menekankan perlunya bagi mengekalkan tekanan maksimum dan sekatan terhadap negara komunis itu.


Moon tiba di sini pada Ahad untuk misi lawatan ke tiga negara, termasuk Indonesia dan Vietnam.


Beliau juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang melibatkan 13 negara dalam rundingan Asean Campur Tiga serta lima negara lain, termasuk Rusia dan Amerika Syarikat.


Moon dijadual berlepas pulang pada Rabu. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]