Jangan khianati sistem pilihan raya

in Edisi by


BERA – Pakatan Harapan Bera mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mewartakan pemilih pos berjumlah 1,234 orang yang tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku ke-3 tahun ini.


Adun Triang, Leong Yu Man berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan senarai lokaliti (tempat kediaman) yang disebarkan secara tular menerusi aplikasi media sosial dan WhatsApp sejak minggu lalu membabitkan pemilih pos di Kem Bera, di dalam kawasan Dun Kemayan itu.


“Isu ini menimbulkan banyak persoalan. Bagaimana SPR boleh memindahkan dan mendaftar pemilih baru di kem tentera yang masih dalam pembinaan tanpa kemudahan asas yang lengkap?


“Jelas ini adalah suatu tindakan yang terdesak dan tidak bertanggungjawab serta mengkhianati sistem pilihan raya yang adil dan telus,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Menurutnya, keadaan itu seharusnya tidak berlaku memandangkan Kem Bera itu masih dalam proses pembinaan dan dipercayai antara 30 hingga 40 peratus sahaja yang siap.

Yu Man (kanan) dan Zakaria (dua, kanan) menunjukkan senarai lokaliti yang tersebar sejak minggu lalu.


“Sebagai badan berkecuali, SPR tidak boleh dilihat cenderung kepada parti pemerintah iaitu BN dengan menerima apa sahaja pendaftaran atau perpindahan pemilih baru tanpa membuat sebarang kajian dan siasatan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid berkata, keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan kewujudan pengundi baharu ini semata-mata untuk mempertahankan kedudukan politik BN di Parlimen Bera.


“Kami (Pakatan Harapan) menggesa Kementerian Pertahanan untuk menjawab setiap persoalan berkaitan isu ini yang dilakukan secara tergesa-gesa.


“Malah, bagi memastikan kedudukan politik BN ini terjamin, mereka sanggup mengorbankan hasil tanaman pekebun-pekebun kecil di Bandar 34 ini demi kepentingan mereka,” katanya.


Menurut Zakaria, pihaknya turut menuntut PDRM dan peguam negara supaya dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu ini kerana mendakwa ia merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]