Jaringan Hafifihafiz julang Perak

in Sukan by


PERAK mencipta kejutan menewaskan juara bertahan Terengganu 3-2 dalam perlawanan akhir TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 edisi ke-55 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, kelmarin.


Hafifihafiz Hanafi muncul wira untuk menjulang Perak selaku juara yang berlangsung di selepas jaringan pukulan sudut penalti pada minit-minit akhir.


Corak permainan laju ditampilkan oleh kedua-dua pasukan bagi mencari gol awal namun kelebihan dua pukulan sudut penalti yang dimiliki Terengganu dan satu oleh Perak sebelum tamat separuh masa pertama tidak berjaya untuk digunakan dengan sebaiknya.


Beberapa saat sebelum wisel separuh masa ditiupkan, Perak menerusi Muhammad Najib Abu Hassan bijak untuk menggunakan kekalutan yang berlaku di hadapan pintu gol Terengganu untuk meledak gol pertama sekali gus menyaksikan Muhamad Hafizuddin Othman tertewas.


Memasuki suku ketiga, Terengganu terus menggandakan usaha untuk mengikat kedudukan dan kelebihan dua pukulan sudut penalti berturut-turut yang dimiliki pada minit ke-35 akhirnya membuahkan hasil selepas Faizal Saari bijak melakukan flik mencari sudut atas kanan pintu gol untuk menewaskan Roslan Jamaluddin.


Fitri Saari hampir meletakkan Terengganu di hadapan beberapa saat sebelum tamat suku ketiga menerusi gerakan padang namun percubaannya mencari sudut bawah sebelah kanan berjaya dibaca dan diselamatkan oleh Roslan.


Minit ke-53 Muhammad Haziq Samsul bijak untuk menggunakan ruang di sebelah kanan pintu gol yang tidak dikawal untuk menewaskan Hafizuddin dan meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1.


Tiga minit kemudian Terengganu kembali mengikat kedudukan 2-2 apabila pukulan sudut penalti yang kelima diterima oleh mereka disudahkan dengan sempurna oleh Faizal Saari sekali lagi.


Seminit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Hafifihafiz Hanafi muncul wira untuk menobatkan Perak selaku juara selepas jaringan pukulan sudut penalti disempurnakannya untuk menjadikan kedudukan akhir 3-2.

Hafifihafiz muncul wira Perak dengan jaringan kemenangan di minit akhir perlawanan.- Foto : Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)


Keputusan tersebut menyaksikan Perak selaku juara pulang dengan RM10,000 dan Terengganu selaku naib juara membawa pulang wang kemenangan RM7,000.


Perlis ungguli divisyen dua


Terdahulu dalam perlawanan akhir divisyen dua yang menemukan Selangor dan Perlis berkesudahan dengan Perlis muncul juara selepas berjaya mengetepikan cabaran Selangor, 2-0.


Perlis membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi jaringan pemain muda mereka, Azhad Akmal Mohd Fahmi. Tidak terhenti setakat itu, Azhad Akmal sekali lagi muncul pemusnah harapan Selangor apabila bijak untuk menyudahkan bola hantaran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil untuk meledak gol kedua yang memuktamadkan kemenangan Perlis.


Selaku juara divisyen dua, Perlis membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000 dan akan beraksi di divisyen satu bagi musim 2018, sementara Selangor selaku naib juara menerima RM3,000.


Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat divisyen satu, jaringan tunggal Muhammad Farid Ziyad Mohd Shah minit ke-10 membantu Melaka muncul pemenang tempat ketiga ketika menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan Melaka menerima RM5,000 sementara bagi divisyen dua, ATM mengesahkan kedudukan tempat ketiga selepas menewaskan Pahang 4-3 dan membawa pulang hadiah kemenangan RM2,000.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]