Kuin dalam proses dapatkan status universiti penuh

in Edisi by


ALOR SETAR – Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kini dalam proses mendapatkan status universiti penuh dengan nama baharu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), sidang Dewan Undangan Negeri Kedah diberitahu hari ini.


Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata Kuin sedang dalam proses menggerakkan perancangan strategik bagi memenuhi satu sahaja lagi daripada lima syarat minimum ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mendapatkan status universiti penuh.


Katanya lima syarat perlu dipenuhi untuk mendapatkan status universiti penuh iaitu kursus ditawarkan mematuhi akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), tahap kebolehpasaran graduan 70 peratus, 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana, perlu mempunyai 20 peratus pelajar antarabangsa dan 30 peratus kos pengoperasian untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).


“Daripada lima syarat ini, hanya satu syarat yang masih diusahakan Kuin untuk dipenuhi iaitu syarat keempat, bilangan pelajar antarabangsa 20 peratus. Apabila syarat ini telah lengkap dipenuhi, pengurusan Kuin akan memajukan permohonan pendaftaran universiti ini kepada KPT,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil)  yang ingin tahu status terkini KUIN berhubung permohonannya untuk mendapat status universiti penuh.


Tajul Urus berkata pada masa ini Kuin hanya mempunyai enam peratus pelajar antarabangsa dan memerlukan kira-kira 300 pelajar antarabangsa lagi bagi mencapai 20 peratus yang ditetakan KPT.


Sementara itu, beliau berkata Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah  merangkap Canselor baharu Kuin telah mengisytiharkan dan memperkenankan penubuhan UniSHAMS semasa Majlis Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kuin Ke-19 pada 20 Okt lepas.


“Nama UniSHAMS ini telah diperkenankan oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebelum dikemukakan kepada KPT. Pada 22 Ogos 2017, Kuin telah menerima surat (Surat Kelulusan Penubuhan Institusi Pendidikan Tinggi  Swasta dengan nama baharu Kuin yang diluluskan adalah  UniSHAMS) daripada KPT,” katanya.


Dalam pada itu, Tajul Urus berkata antara usaha dilakukan pengurusan Kuin bagi menambah bilangan kemasukan pelajar antarabangsa itu adalah menawarkan pakej istimewa terbuka kepada 300 pelajar dari Thailand dan Indonesia sehingga kolej itu memperoleh kelulusan pendaftaran sebagai UniSHAMS.


“Mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin telah meluluskan pakej penawaran istimewa dengan kadar diskaun 50 peratus yuran bagi sembilan program pascasiswazah iaitu lima program sarjana melibatkan Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab, Al-Quran dan Kewangan Islam.


“Manakala empat program PhD iaitu Syariah, Usuluddin,  Bahasa Arab dan Kewangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Md Zuki.-Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]