Mayat warga emas ditemui dalam bilik hotel

in Edisi by


BENTONG – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam sebuah bilik hotel di Genting Highlands, Khamis lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pada jam 10.20 pagi hari berkenaan, anggota Balai Polis Genting menerima maklumat tentang mayat dijumpai seorang kakitangan dalam salah sebuah bilik hotel di situ.


Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, pihaknya menemui mangsa yang berusia 65 tahun dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan lilitan di bahagian leher.


“Pemeriksaan pada badan tidak menjumpai sebarang kecederaan dan siasatan awal di tempat kejadian menjumpai seutas tali yang dipercayai digunakan untuk melilit leher mangsa.


“Pada awal siasatan tidak menjumpai  sebarang bukti untuk dikaitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes ini kita telah klasifikasi sebagai SDR.


“Laporan bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain di badan mangsa,” katanya.


Bagaimanapun, Othman berkata, disebabkan beberapa keraguan, penyiasatan telah diteruskan dan semakan dan daftar bilik mendapati terdapat individu kedua turut menginap di bilik tersebut.


Menurutnya, pihak polis telah berjaya mengesan dan menangkap suspek lelaki yang berusia 35 tahun yang merupakan anak kepada mangsa Ahad lalu di kawasan Genting Highlands.


“Soal siasat telah dilakukan dan melalui rakaman CCTV dan keterangan pekerja jelas menunjukkan suspek yang berusia 35 tahun memang berada di dalam bilik tersebut semasa kejadian.


“Suspek telah melarikan diri dan telah ditangkap Ahad lalu. Dia disahkan mempunyai rekod sakit mental dan masih mengambil ubat,” katanya.


Tambahnya, bedah siasat kali kedua yang dijalankan pihak patologi menunjukkan punca utama kematian mangsa adalah akibat tekanan pada bahagian leher.


“Suspek kini direman sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 306 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]