Peruntukan RM84.52 juta untuk SJKT

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM84.52 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tami (SJKT) pada tahun ini.


Timbalan Menteri Pendidikan 1, P Kamalanathan berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan SJKT yang dibelanjakan pada tahun ini adalah sebanyak RM24.5 juta.


Menurutnya, perbelanjaan ini digunakan untuk penggantian penuh, pembinaan blok bangunan tambahan, pembinaan sekolah baharu, pembinaan pra sekolah, perolehan tanah dan lain-lain.


“Pada masa sama, kerajaan telah menyediakan Penyelenggaraan Peruntukan Khas (PPK) tahun 2017 sebanyak RM50 juta kepada SJKT bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan RM10 juta bagi pembinaan 50 buah kelas prasekolah di SJKT.


“Bagi peruntukan PPK fasa satu, sebanyak RM25 juta selesai diagihkan kepada SJKT di bawah ketegori sekolah kerajaan pada Oktober lalu, manakala sebanyak RM25 juta lagi diperuntukkan kepada kategori sekolah bantuan kerajaan dan RM10 juta untuk prasekolah yang akan diagihkan dalam fasa kedua Disember depan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V N Sivakumar (DAP-Batu Gajah) yang bertanyakan tentang jumlah peruntukan pembangunan yang dibelanjakan untuk sekolah Tamil sepanjang 2017.


Mengulas lanjut, bagi status pembinaan tujuh SJKT baharu, sebuah sekolah SJKT Korabangsani Paya Besar, Kedah siap dibina yang mana sesi pengajaran dan pembelajaran dimulakan tahun hadapan.


“Manakala, lima lagi dalam proses pembinaan dan sebuah lagi dalam proses prabina,” katanya.


Beliau kemudian turut menjelaskan isu kelewatan yang berlaku kerana terdapat beberapa isu yang harus diselesaikan seperti isu tanah.


“Itu adalah proses pembinaan..contohnya, untuk bina sekolah baru, lebih 20 jenis lesen perlu diperolehi dan kita melalui semua proses,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan akan terus menunaikan janji dan dengan jumlah peruntukan yang diberikan membuktikan Malaysia adalah sebuah negara di rantau ini yang mempertahankan pendidikan Bahasa Tamil.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]