Pesawat simulasi bawa orang kenamaan terhempas

in Uncategorized by


TAIPING – Seramai 10 orang termasuk lima anak kapal cedera apabila sebuah pesawat yang membawa lima orang kenamaan terhempas di kawasan lereng Bukit Larut dekat sini hari ini.


Pesawat yang dalam perjalanan ke Pulau Pinang itu terputus hubungan lalu terhempas pada ketinggian 150 meter di lereng bukit itu sebelum terbakar dan meletup.


Pasukan penyelamat membabitkan anggota bomba serta beberapa agensi penyelamat lain bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 pagi ini.


Adegan itu bagaimanapun merupakan sebahagian daripada situasi simulasi bagi Latihan Pengurusan Bencana 2017 (D’Mex) anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri untuk menguji tahap persediaan dan kecekapan anggota menghadapi bencana.


Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahaya Madis berkata semua agensi perlu digerakkan bagi memastikan latihan itu berjalan lancar dan teratur apabila berlakunya bencana.


Katanya, latihan itu membabitkan 300 pegawai dan anggota antaranya terdiri daripada Polis Diraja  Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Penerbangan Awam, Rela, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hutan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Air Perak dan Jabatan Kesihatan.


“Kita yakin latihan ini dapat memberi manfaat kepada pasukan penyelamat apabila menghadapi situasi sebenar,” katanya kepada pemberita selepas latihan itu di sini hari ini.


Menurut Yahaya, latihan itu kali ketiga diadakan sejak latihan pertama pada 2015 di Tapah dan seterusnya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut tahun lepas. – Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]