Piawaian keselamatan baharu guna dron diperkenal

in Global by


SEJONG – KOREA SELATAN. Korea Selatan memperkenalkan piawaian keselamatan baharu untuk dron, susulan semakan semula undang-undang berkaitan penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu itu, baru-baru ini, kata Kementerian Pengangkutan pada Selasa.


Di bawah pindaan undang-undang keselamatan penerbangan yang berkuat kuasa minggu lepas itu, membenarkan dron terbang pada waktu malam atau di luar garis penglihatan visual juru terbang, selagi keperluan keselamatan dipenuhi, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.


Sebagai persiapan menghadapi keadaan kecemasan seperti terputus hubungan atau kerosakan, dron perlu dipasang peranti yang boleh memastikan dron selamat jika terjatuh.


Dron juga perlu dilengkapi sistem anti-perlanggaran dan pengesan sistem kedudukan, yang boleh membantu mengesan lokasi jika berlaku kemalangan.


Jika ingin terbang pada waktu malam, dron perlu mempunyai insurans dan memasang lampu anti-perlanggaran yang boleh dilihat sejauh lima kilometer.


Dron juga perlu dilengkapi dengan kamera inframerah dan alat pandangan.


Dalam usaha menyokong industri dron yang kian berkembang pesat, semakan undang-undang berkenaan juga membenarkan dron terbang lebih jauh, selagi pengguna memenuhi keperluan keselamatan. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]