Pusat sembelihan ayam diperiksa KPDNKK

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Dua pusat sembelihan ayam di daerah ini diperiksa dalam satu operasi bersepadu bagi memastikan kaedah penyembelihan dijalankan mengikut hukum syarak.


Operasi bermula 12 malam hingga jam 5 pagi tadi itu melibatkan sembilan pegawai dan penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Terengganu dan  Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).


Pengarah KPDNKK Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, dua pusat penyembelihan ayam di Serada diperiksa secara mengejut dalam operasi ini di Bawah Peruntukan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.


Menurutnya, tidak ada kompaun dikenakan terhadap kedua-dua pengusaha pusat penyembelihan ini kerana sistem penyembelihan dan pengendalian premis berada dalam keadaan yang baik.


“Namun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan pada sistem operasi penyembelihan di salah satu pusat sembelihan ayam yang diperiksa dan kita nasihatkan pengusaha supaya sentiasa memperkemaskan serta menambah baik sistem operasi penyembelihan ayam.


“Ia penting bagi memastikan hukum syarak dan garis panduan yang telah ditetapkan sentiasa dipatuhi sekaligus mengelak timbulnya keraguan tentang status halal dan kebersihan ayam yang diproses,” katanya.


Saharuddin berkata, operasi seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha sentiasa mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan.


“Ini juga sebagai langkah membantu orang ramai menolak rasa waspada terhadap status halal bekalan ayam di daerah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]