Saran belia wanita jadi sukarelawan bomba

in Edisi by


JERANTUT – Kaum wanita disarankan melibatkan diri dan menjadi salah seorang anggota sukarelawan bomba.


Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk (JPP) Zon 10 Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Mohd Ali Mat Sidek berkata, belia dalam kalangan wanita khususnya digalakkan menyertai sukarelawan bomba terbabit.


Katanya, penyertaan dalam kalangan belia kaum wanita dapat menambahkan lagi bilangan sukarelawan bomba yang rata-ratanya disertai kaum lelaki.


“Dengan adanya penyertaan dalam kalangan kaum belia wanita dapat membantu pihak bomba sekiranya berlaku kecemasan di kawasan perumahan ini,” katanya ketika menganjurkan program pelancaran MyBomba JPP Zon 10 dan Majlis Penutupan Instruktur Cilik Dansa Robik Tour Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Temin 2017 bertempat di dewan terbuka Taman PAKR 410, di sini, kelmarin.


Majlis pelancaran disempurnakan Adun Damak, Datuk Lau Lee sekali gus turut menyerahkan watikah pelantikan kepada 10 JPP 410 yang dilantik bagi sesi baharu ini.


Lau Lee pula berkata, MyBomba penting dalam memainkan peranan untuk  memberi pendedahan kepada penduduk setempat tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diingini.


“Menerusi MyBomba diharap pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat beri pendedahan, pengetahuan dan kemahiran kepada penduduk jika berhadapan kecemasan agar mereka tidak panik,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]