Abang Johari fokus pembangunan ekonomi digital

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi digital negeri dan tumpuannya kepada usaha itu tidak terjejas disebabkan komen negatif daripada mana-mana pihak atau individu.


“Usaha itu bukan untuk menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah teknologi tinggi tetapi apa yang kita lakukan adalah untuk masa depan negeri dan generasi muda kita untuk memperbaiki ekonomi dan kesejahteraan mereka.


“Kita perlu memanfaatkan teknologi kerana jika tidak kita akan ketinggalan,” kata beliau ketika berucap pada pelancaran Sarawak Pay, aplikasi pembayaran secara atas talian tanpa perlu membayar tunai yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak, di lobi Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.


Beliau berkata perubahan bakal berlaku daripada segi transaksi perniagaan pada masa depan seperti berlaku dalam tempoh sepuluh tahun terakhir sambil menambah bahawa Sarawak harus mempersiapkan diri untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.


Ketua Menteri berkata adalah menjadi tugasnya untuk meneruskan apa yang telah dilaksanakan  oleh ketua menteri terdahulu untuk negeri ini dalam membangunkan bukan sahaja kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar.


Abang Johari menarik perhatian kepada Program Bestari yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan apabila pelajar diberikan komputeri tetapi disebabkan tiada sambungan internet di kawasan luar bandar, pelajar tersebut tidak dapat menggunakan sepenuhnya komputer riba.


“Bukannya kita mahu menunjukkan bahawa kita berteknologi tinggi tetapi kita mahu anak muda Sarawak menyesuaikan diri dengan kaedah baharu untuk menjalankan perniagaan dan disambungkan ke internet,” kata beliau.


Abang Johari berkata, oleh itu rakyat Sarawak perlu memanfaatkan teknologi baharu dan perlunya penduduk luar bandar dan bandar dihubungkan melalui ekonomi digital.- Bernama

 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]