Bimbang masalah sosial dalam kalangan Orang Asli

in Edisi by


GUA MUSANG – Masalah sosial dalam kalangan belia Orang Asli kini amat membimbangkan khususnya dalam isu pengambilan minuman keras.


Aktivis, Nasir Dollah berkata, penjualan arak secara terbuka bukan isu baharu  malah sejak awal 1998 lagi dan sering  mendapat rungutan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta orang awam.


Dakwanya, perkara itu berleluasa kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa kepada peniaga yang menjualnya secara terbuka.


Difahamkan, antara kawasan yang ‘galak’ dengan gejala ini adalah di Pos Hendrop, Pos Brooke, Pos Ber dan Pos Tuel di mana penjualnya adalah Cina dan India.


“Hampir 80 peratus belia Orang Asli terjebak dengan pengambilan minuman keras di mana ia menunjukkan satu senario yang sangat membimbangkan.


“Ini isu serius kerana ia merugikan anak-anak kita sebagai generasi penyambung masa akan datang. Bukan sahaja belia lelaki, malah wanita juga turut terlibat.


“Selepas minum, mereka akan terlibat dengan pergaduhan malah ada yang mati akibat mabuk melampau. Di awal usia 10 tahun, sudah ada yang minum arak,” katanya.


Nasir berkata, pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Jabatan Agama Islam Kelantan (Jaik), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Ketua Kampung dan JKKK perlu memberi perhatian dalam kes ini.


“Saya berharap isu ini mendapat perhatian pihak berwajib terutamanya ketua kampung dan JKKK. Kita lihat, setiap kampung ada Rela dan ramai guru agama, tapi apa tanggungjawab mereka terhadap isu ini?


“Ketua kampung dan JKKK perlu memikirkan langkah terbaik untuk membenteras gejala ini. Maik perlu bertegas dalam hal ini kerana kebanyakan yang minum arak adalah Orang Islam.


“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk menjadi mata telinga pihak berkuasa dan diharapkan isu ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]