DAP tetap bersemangat walaupun berdepan masalah

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Ahli-ahli DAP masih mengekalkan semangat tinggi untuk berjuang dalam parti itu walaupun DAP berdepan masalah berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).


Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing berkata, keadaan itu tidak sesekali menjejaskan kepercayaan mereka terhadap parti sebaliknya semangat mereka tidak tergugat dengan masalah berkait dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).


“Semua ahli DAP masih mengekalkan semangat tinggi untuk bersama parti dalam menghadapi pilihan raya. Kalau tidak, takkanlah ada perwakilan hadir hampir 1,400 orang. Jumlah perwakilan masa 2012 adalah seramai 2,500 dan lebih separuh yang hadir kerana sebahagiannya mungkin mempunyai halangan tertentu.


“Untuk hadir ke CEC, ia juga melibatkan belanja yang bukan sedikit, kos pergi balik, tol, minyak, bukan semua orang boleh berbelanja dalam ekonomi yang meleset ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Chai Hing juga turut hadir sebagai satu-satunya perwakilan tunggal DAP dari Terengganu pada CEC Ahad lalu di Shah Alam.


Dalam masa sama, beliau turut menaruh harapan tinggi pemilihan kali ini diluluskan oleh ROS memandangkan pemilihan semula itu dikendalikan firma audit antarabangsa Grant Thornton yang dipersetujui ROS.


Beliau juga turut berharap gangguan-gangguan oleh bekas ahli DAP yang cuba menggagalkan CEC kali ini juga tidak memberi kesan terhadap pemilihan semula bagi kali ketiga ini.


“Kita harap selesai sepenuhnyalah. Saya rasa dalam pemilihan kali ini ada orang yang buat bantahan daripada bekas ahli-ahli (DAP) yang datang buat kacau, tarik banner, meminta Lim Guan Eng letak jawatan dan sebagainya bagi mengganggu pemilihan,” katanya.


Dalam CEC Ahad lalu, Lim Guan Eng berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung DAP setelah menjadi calon ketiga paling popular dengan 1,180 undi dalam pemilihan semula CEC.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]