Kenderaan berat bawa lebih muatan ditahan

in Uncategorized by


KAMPAR – Rakus mengaut keuntungan dengan membawa muatan berlebihan, tindakan segelintir pemandu kenderaan berat itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.


Susulan itu, Operasi Bersepadu Timbang Berat diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa, Jabatan Siasatan dan Penguatksaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh dijalankan bersama lima pegawai dan 28 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta 12 pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di sini hari ini.


Operasi bermula kira-kira jam 6 pagi itu berjaya menahan 41 kenderaan berat yang membawa muatan pasir dan batu arang di sekitar Malim Nawar, Kuala Dipang, Kota Bharu, Tanjung Tualang dan Bandar Baru Kampar.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, 21 saman dikeluarkan kepada kenderaan yang ditimbang di Jalan Batu Putih di sini, dan memeriksa 52 individu.


“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian besar pemandu telah melakukan kesalahan dengan lebihan muatan antara 20 hingga 70 peratus dari had yang dibenarkan untuk kenderaan 24 hingga 60 tan itu.


“Seorang pemandu dikenakan saman trafik dan disiasat oleh SPAD selepas pemeriksaan mendapati dia membawa lebihan muatan hingga 70 peratus selain dikenakan saman trafik untuk kesalahan tayar botak dan lesen memandu,” katanya.


Menurutnya, SPAD membuka 20 kertas siasatan atas kesalahan membawa muatan berat mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.


“Operasi ini dijalankan untuk mengambil tindakan terhadap lori-lori yang membawa lebihan muatan untuk elakkan risiko kemalangan dan beri kesan kepada pengguna jalan raya,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]