Kilang digempur, 84 warga asing kena cekup

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Seramai 84 pekerja warga asing dicekup dalam Ops Bersepadu di kilang di Pelabuhan Klang, di sini semalam.


Serbuan membabitkan dua kilang itu dijalankan pada kira-kira jam 11 pagi, hasil maklumat dan risikan.


Serbuan turut melibatkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO), Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan Selangor, imigresen dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata beberapa pekerja warga asing diperiksa.


“Hasil pemeriksaan kita menahan 84 pekerja warga asing. Selain itu, tiga orang dipercayai majikan dan ejen turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.


Beliau berkata, pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan dan menemu bual pekerja-pekerja di dalam kedua-dua kilang tersebut dan mendapati tiada unsur-unsur sebagai mangsa pemerdagangan orang.


Katanya, bagaimanapun beberapa kesalahan dikesan seperti menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan diri yang sah dan didapati dalam milikan pasport orang lain.


Kesemua tangkapan berusia lingkungan 30 hingga 50-an diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Putrajaya dan Pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor untuk siasatan di bawah Akta Kerja,” katanya.


Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Imigresen dan Akta Pasport.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]