Konsesi ERL dilanjut sehingga 2059

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perjanjian konsesi bagi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang mengendalikan perkhidmatan KLIA Ekspress dan KLIA Transit telah dilanjutkan selama 30 tahun, sehingga 2059, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, lanjutan tempoh konsesi berkenaan dibuat selepas kerajaan menolak permintaan Malaysia Airports Holdings Bhd berhubung kenaikan harga tiket ERL sebanyak tiga kali.


“Kontrak ini akan tamat pada 2029, tetapi oleh kerana kita telah buat perjanjian awal pada 2002, telah ada satu sistem di mana setiap lima tahun harga tambangnya boleh disemak.


“Apabila kita tidak membenarkan kenaikan tambang sebanyak tiga kali, sepatutnya kita memberi pampasan tetapi kita panjangkan konsesi,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Tan Sri Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) berhubung isu konsesi ini.


Abdul Aziz berkata, selepas 2029, kerajaan tidak lagi akan membayar caj servis penumpang sebanyak RM5 bagi setiap penumpang kepada ERL dan bayaran kepada syarikat rel berkenaan adalah bergantung kepada pasaran.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]