Padah curi, jual barang kemas dalam tin biskut

in Semasa by


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistert Kuala Terengganu, di sini, hari ini, sebagai balasan mencuri barang kemas milik ibunya yang disimpan di dalam tin biskut di bawah katil sebelum melupuskan dengan cara menjualnya.


Keputusan dibuat selepas tertuduh, Muhamad Firdaus Deraman, 29, dari Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, mengaku salah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melupuskan harta curi.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku salah dengan sengaja melupuskan seutas gelang tangan emas 850 berat 17.48gram bernilai RM1,765 milik ibunya, Sukeriah Mahmud, 63, di hadapan sebuah rumah di Kampung Jeram, Manir, di sini, lebih kurang jam 5 petang, 4 Mei lalu.


Selain itu, tertuduh turut mengaku salah bagi pertuduhan kedua dengan sengaja melupuskan seutas gelang tangan 916 berat 26.23 gram bernilai RM3,400 milik mangsa kira-kira jam 5.30 petang, di lokasi sama, pada 28 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.


Berdasarkan fakta kes, pada 2 November lalu, kira-kira jam 10 malam, mangsa menyedari barang kemas iaitu lima utas gelang permata; satu loket permata; dua bentuk cincin permata; sebentuk cincin emas; dua pasang subang permata dan tiga utas gelang bersalur emas, berlian dan permata hilang dalam simpanannya yang disimpan di dalam bekas tin biskut di bawah katil mangsa.


Yakin tertuduh yang mengambil barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 itu, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]