PBSNT muktamad cadangan dalam tempoh terdekat

in Sukan by


CADANGAN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk meletakkan satu pasukan sahaja beraksi dalam Liga Super manakala satu lagi di Liga Perdana akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.


Presidennya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, masih belum ada keputusan yang dibuat, sebaliknya ia hanya cadangan oleh pihak pengurusan.


“Kita kena tunggu keputusan PBSNT yang akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa nanti. Ini yang dicadangkan pihak pengurusan, jadi kita akan lihat balik bagaimana yang sewajarnya untuk diputuskan dalam mesyuarat pada akhir tahun ini. Ia belum muktamad lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.


Hasrat PBSNT sebelum ini mendapat reaksi berbeza dari kalangan peminat bola sepak, termasuk pengurusan pasukan T-Team dan kelab-kelab penyokong.


Malah pengendali T-Team, Rahmat Darmawan mengakui sedikit terkilan selepas mengetahui skuad kendaliannya itu bakal ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana selepas usaha PBSNT melakukan penjenamaan semula dua pasukan dari Terengganu itu.


Manakala, Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT), Mohamad Sekanther berkata, pihaknya tidak dimaklumkan apa-apa berhubung cadangan itu dan terkejut memandangkan T-Team berjaya meloloskan diri untuk terus kekal berada di kancah liga utama, tetapi perlu berdepan tindakan ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana musim depan.


 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]