Pencuri pulangkan barang dilarikan

in Edisi Utara by


BALING – Tujuh komputer riba, dua pembesar suara dan satu kamera serta mesin gerudi yang dicuri daripada Pemulihan Dalam Komuniti ( PDK) Sri Bakai di Kampung Banggol Berangan pada 12 November lalu dipulangkan semula oleh penjenayah, hari ini.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, kejayaan mendapatkan semula kesemua barang bernilai hampir RM10,000 itu hasil bantuan ‘task force’ Skuad Rondaan Sukarelawan ( SRS) kampung tersebut.


“Kehilangan disedari penyelia PDK pada 12 November jam 10 pagi. Turut didapati hilang ialah jeriji tingkap serta terdapat kesan umpil pada pintu bahagian dapur. Laporan polis di balai pekan Malau telah dibuat pada hari kejadian.


“Tetapi tujuh ‘laptop’ bersama kamera jenis Nikon, mesin gerudi dan pembesar suara itu dipulangkan semula penjenayah kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( PJKKK) yang mengetuai SRS, kampung berkenaan” katanya kepada pemberita di PDK Banggol Berangan, hari ini.


Menurutnya, kesemua komputer riba dicuri itu adalah hasil sumbangan kerajaan bagi pembelajaran pelatih-pelatih OKU.


“Kita tidak sangka mereka akan pulangkan semula, mungkin ini adalah hasil keberkatan mendidik anak-anak OKU.


“Terima kasih kepala PJKKK dan SRS kerana bertungkus lumus mendapatkan semula barangan dicuri,” katanya.


Shamsul berkata, susulan kes itu, enam PDK dalam daerah itu akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu limpah dalam tempoh terdekat.


“Kes ini juga kita serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, PJKKK Banggol Berangan, Mohamad Faudzi Abdul Mutalib berkata, barangan dicuri dipulangkan semula hasil rundingan pihaknya dengan pencuri terbabit.


Menurutnya, sebelum itu, kes itu tersebar menerusi WhatsApp kampung bagi memudahkan proses pencarian.


“Saya mendapat kerjasama Komuniti yang sama-sama membantu. Hasil rundingan dengan individu tersebut, barangan curi diserahkan kepada saya hari ini.


“Cuma wayar sambungan, tetikus dan bag ‘laptop’ masih belum dipulangkan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]